KUCHING, 9 Sept: Arkib Negara Malaysia bakal mengadakan Konvensyen Sejarah Malaysia di Kuala Lumpur pada 19 September ini.
Konvensyen tersebut akan memberi tumpuan kepada pentafsiran semula terhadap kurikulum sejarah Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, konvensyen tersebut yang diadakan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, konvensyen tersebut turut membincangkan beberapa isu bagi mengkaji semula kurikulum sejarah Malaysia.
“Sekarang saya rasa terdapat beberapa isu dalam sejarah yang perlu diberi perhatian dalam kurikulum sekolah dan saya bersetuju dengan pendapat pakar.
“Kita merancang untuk mengadakan konvensyen besar-besaran iaitu Konvensyen Sejarah Malaysia yang diadakan pada 19 September di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng ‘Negarawan Terbilang’ di Yayasan Kebudayaan Dayak hari ini.
Mengenai program tersebut, Aaron menjelaskan, ia penting bagi mengenang jasa dan pengorbanan negarawan tersebut.
“Program ini amat penting kerana kita dapat mengenang kembali jasa negarawan terutama pejuang terdahulu semasa pembentukan Malaysia.
“Kita perlu mengenang jasa dan menghargai mereka sebagai negarawan terbilang,” ujarnya.-TVS

