MUKAH, 9 Sept: Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi mengesahkan dua acara utama akan diadakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak tahun ini.
Beliau berkata, ia melibatkan majlis kesyukuran yang berlangsung di Masjid Setia Raja Mukah pada 16 September dan Perarakan Maulidur Rasul di Dataran Pehin Setia Raja Mukah pada 17 September.
Menurutnya, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dijangka menghadiri kedua-dua acara tersebut.
Tambahnya, kira-kira 5,000 peserta dijangka terlibat dengan Perarakan Maulidur Rasul.
“Sebanyak 117 kontinjen terlibat dengan perhimpunan ini,” katanya pada sidang media Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2024 di sini hari ini.
Dr. Abdul Rahman berkata, kontinjen terlibat mewakili badan beruniform, agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, badan berkanun, agensi swasta, masjid dan surau.
Selain itu, perhimpunan kali ini turut menarik minat kontinjen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sekolah dan kategori khas.
Menurutnya, sebanyak lapan acara sampingan turut diadakan seperti Lau Ka Na Bainana di Dewan Majlis Pentadbiran Kerajaan Mukah, Mukah Berselawat di Masjid Setia Raja Mukah pada 15 September dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Masjid Al-Muhsiniin Daro pada 17 September.-TVS



