GEORGE TOWN, 1 Jan: Peninju kebangsaan kelahiran Sarawak, Daeloniel McDelon Bong menepati ramalan apabila berjaya menggondol pingat emas kategori 57 kilogram (kg) pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Pulau Pinang di Pesta Pulau Pinang di sini malam tadi.
Daeloniel yang mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) menundukkan peninju Tentera Darat, Jemis Wong Lee Onn menerusi tiga pusingan membabitkan aksi serangan sengit antara kedua-dua pihak.
Mengulas mengenai usaha menundukkan lawannya, anak kelahiran Sri Aman yang mendapat julukan Kilat Boy itu berkata, dia berbangga dengan kejayaan itu kerana tidak menjangkakan untuk mencipta kemenangan ketika berdepan lawan lebih berpengalaman.
“Pada pusingan pertama saya terus mengasak lawan sehingga dia berasa takut dan saya kekalkan mementum sehingga pusingan ketiga.
“Walaupun tahu saya mendahului, cuma saya takut perlawanan akan sengit dan saya cuba kekalkan fokus saya selain buat yang terbaik dalam ketiga-tiga pusingan,” kata atlet 23 tahun itu kepada TVS pada Sabtu.
Acara penyampaian pingat disempurnakan Presiden Persatuan Tinju Pulau Pinang, Mejar (B) Wan Abdul Hamid Wan Mahmood.
Selain Jemis yang mendapat pingat perak, wakil MSN, Alif Akmal Muhamad Asri dan wakil Sumatera Utara dari Indonesia, M. Iqbar Rasokismktupang masing-masing membawa pulang pingat gangsa dalam kategori itu.
Sementara itu, biarpun dilihat bertenaga menundukkan lawan, Daeloniel berkata, dia berdepan cabaran pada kejohanan kali ini kerana kekurangan waktu rehat.
“Sebelum dan selepas Sukan Malaysia (SUKMA) (pada Oktober), saya belum sempat berehat dan ini perlawanan keempat saya minggu ini selain kejohanan kedua bulan ini.
“Saya akan ambil cuti dua ke tiga hari sebelum kembali berlatih sebagai persiapan untuk Piala Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 hingga 28 Januari,” katanya.
Acara Kejohanan Tinju Antarabangsa Pulau Pinang yang berlangsung bermula 27 Disember lalu hingga semalam menyaksikan penyertaan tujuh kategori antara 51 hingga 92 kg membabitkan penyertaan pasukan dari MSN, Tentera Darat, Sumatera Utara dan Bali dari Indonesia, Hong Kong serta Singapura. – TVS
