KUCHING, 1 Jan: Keyakinan rakyat terhadap kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus memerintah merupakan kunci kejayaan komponen parti berkenaan.
Tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, keyakinan tersebut juga berjaya mengangkat Sarawak seterusnya memiliki suara yang kuat di peringkat Persekutuan dengan pelantikan lima Menteri penuh, enam Timbalan Menteri serta seorang Timbalan Perdana Menteri.
“Oleh itu, saya mengucap terima kasih kepada rakyat berbilang kaum, berbilang agama, berbilang latar belakang latar yang telah yakin dan memberikan sokongan yang hebat kepada GPS dalam pilihan raya yang lepas.
“Ini adalah berkat kerjasama, kestabilan yang ada, politik yang baik yang diamalkan kita di negeri Sarawak. Kita juga berkehendakkan negara Malaysia untuk mempunyai keadaan politik yang baik supaya Malaysia dapat terus membangun dengan kerajaan yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023, di sini, semalam.
Tambahnya, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh Sarawak sepanjang tahun 2022 dan pada tahun 2023 pula, Sarawak akan menyambut ulang tahun ke-60 Merdeka.
Sehubungan itu, beliau berharap agar hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diberi balik kepada Sarawak.
“Ada juga perkara-perkara kita yang tidak boleh dirunding, itu adalah hak kita negeri Sarawak. Satu-satunya ialah hak kita ke atas tanah kita dan juga kawasan pelantar benua (continental shelf). Ini adalah hak negeri Sarawak yang tidak boleh dirunding dengan orang lain.
“Perkara kedua ialah imigresen. Kita akan terus mempertahankan kuasa autonomi di atas imigresen kita. Dan juga kita akan mempertahankan sempadan kita,” tegasnya lagi. – TVS



