KUALA LUMPUR, 12 Dis: Pihak berkuasa agama di setiap negeri termasuk mufti perlu segera tampil menerangkan hukum kepada masyarakat sekiranya berlaku perkara yang memerlukan penjelasan mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Jenazah bayi dibeku: HBR dakwa pesakit belum berkahwin, bapa hilangkan diri
Berkenaan kejadian di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor yang didakwa membekukan mayat seorang bayi, Mohd Na’im berkata, perkara itu ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat.
“(Sebenarnya) saya telah meminta Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah untuk memberi pandangan beliau walaupun kejadian itu berlaku di Selangor, tidak salah bagi seorang mufti untuk mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian menyayat hati itu,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian kepada media selepas Sidang Media Bajet Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bangunan MAIWP, di sini, hari ini.
Berkenaan saranan supaya mufti segera memberi penjelasan, Mohd Na’im berkata, sekiranya pihak berkuasa agama lambat bertindak, masyarakat akan tertanya-tanya.
“Oleh itu, dengan kuasa yang ada, tidak salah untuk mufti mengeluarkan pandangan dengan segera,” tambahnya.
Sebelum ini tular mengenai kes yang mana seorang mayat bayi lelaki berusia sehari yang meninggal dunia selepas dilahirkan disimpan dalam peti sejuk sebuah hospital swasta selama dua minggu.
Ini berikutan ketidakmampuan waris bayi itu untuk membayar bil hospital.
Dalam pada itu, Mohd Na’im memberitahu, skuad Jejak Asnaf MAIWP telah mengenal pasti keluarga tersebut dan akan menghulurkan segera. -TVS.


