BUTTERWORTH, 12 Dis: Kementerian Kerja Raya (KKR) membuat penilaian kos bagi pembaikan jalan yang rosak akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) pada gelombang pertama banjir yang dianggarkan bernilai RM312.1 juta setakat semalam.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kos tersebut bagaimanapun belum dimuktamadkan sehingga gelombang MTL berakhir dan proses penilaian masih berjalan.
“Bagi jalan persekutuan, kos pembaikan berjumlah RM247 juta, cerun jalan Persekutuan sebanyak RM40.3 juta dan jalan negeri pula dianggarkan berjumlah RM24.8 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2024 di sini.
Turut hadir, Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.
Mengulas lanjut Nanta berkata, kementeriannya juga telah membuat persiapan bagi berdepan gelombang kedua banjir termasuk bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas.
“Saya dan timbalan menteri mengambil peluang turun padang untuk meninjau kawasan yang terkesan di Kelantan dan Terengganu pada gelombang pertama sebelum ini.
“Selain itu, kementerian bersama syarikat konsesi turut lancarkan program bantu mangsa banjir dan mengaktifkan bilik gerakan bencana bagi membolehkan kita bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Berdasarkan pengalaman mengurus bencana semasa gelombang pertama, kita lebih bersedia kali ini,” ujarnya.
Sementara itu, bersempena HPTN 2024, Nanta berkata, Belanjawan 2025 yang berjumlah RM423 bilion telah memperuntukkan sebanyak RM88 billion termasuk RM2 bilion dana kontingensi atau 20 peratus untuk tujuan perbelanjaan pembangunan.
Katanya, sebahagian besar daripada jumlah tersebut adalah untuk pembangunan infrastruktur dan prasarana negara yang memerlukan penglibatan dan sumbangan signifikan para profesion teknikal negara. – TVS

