KUCHING, 9 Sept: Jasa Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng sebagai tokoh Dayak yang menjadi salah seorang penggerak penyertaan wilayah ini dalam pembentukan Malaysia wajar dikenang sepanjang zaman.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau amat kagum dengan ketajaman fikiran serta pandangan realistik yang dimiliki tokoh itu.
Menurutnya, integriti dan kebijaksanaan Tun Jugah sebagai pemimpin diiktiraf di dalam dan luar negeri apabila dilantik sebagai Pengerusi Majlis Daerah Kapit dan seterusnya dilantik sebagai Temenggong di Bahagian Kapit.
“Kejayaan Tun Jugah mengumpulkan 51 ketua kaum Iban serta penghulu dari Kapit sehingga dapat mencapai kata sepakat untuk menyertai Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura, dalam pembentukan Gagasan Malaysia pada 15 Februari 1962, menjadi titik tolak kepada persetujuan penggabungan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk menubuhkan Malaysia.
“Tun Jugah juga terlibat dengan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dan Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk membincang dan menyediakan laporan mengenai beberapa syarat dan hak rakyat Sarawak sebelum pembentukan Malaysia,” katanya.
Abang Johari berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Program Mengenang Sejarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng ‘Negarawan Terbilang’ di Yayasan Kebudayaan Dayak di sini, hari ini.
Menurutnya, menyingkap kembali peristiwa yang membawa kepada usaha pembentukan Malaysia, pastinya tiada dapat menafikan peranan, jasa dan sumbangan besar yang telah digalas Tun Jugah.
Atas kredibilitinya, Abang Johari berkata Tun Jugah diberi kepercayaan memegang portfolio kabinet dalam Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Sarawak dari tahun 1963 hingga 1974.
Sepanjang memegang portfolio itu ujarnya, Tun Jugah telah menjadi jambatan penghubung di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam membawa kemajuan kepada Sarawak. – TVS



