KUCHING, 9 Sept: Kebijaksanaan dan sikap toleransi Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng atau Tun Jugah membolehkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kekal sebagai kuasa politik dominan di Sarawak hingga ke hari ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tokoh itu memainkan peranan penting dalam menjaga serta melindungi hak dan kepentingan rakyat Sarawak.
“Tun Jugah yang juga digelar ‘Apai’ atau ayah dalam bahasa Iban menjadi sosok penting yang telah berjuang bagi memerdekakan Sarawak dan (menggalas tanggungjawab utama dalam) penubuhan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi merasmikan Program Mengenang Sejarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah anak Barieng ‘Negarawan Terbilang’ di Yayasan Kebudayaan Dayak di sini, hari ini.
Antara kemuncak karier politiknya, mendiang Tun Jugah dilantik sebagai presiden pertama PBB pada tahun 1973 dan menteri dalam Kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata mendiang telah mengambil langkah berani dan bijak bersetuju untuk menggabungkan Parti Pesaka dan Parti Bumiputera sehingga terbentuk PBB.
Tujuan penggabungan itu dilakukan untuk menguatkan perpaduan politik dalam kalangan Bumiputera Sarawak dan untuk memastikan kestabilan politik di wilayah ini.
Dalam pada itu, Abang Johari mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Arkib Negara Malaysia kerana menganjurkan program seumpama ini bagi menyuburkan kecintaan masyarakat kepada sejarah negara dengan mengenang dan menghargai sumbangan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memerdekakan dan mempertahankan kemerdekaan negara.
Katanya tema ‘Negarawan Terbilang’ adalah tepat bagi menggambarkan pengorbanan, sumbangan dan jasa Tun Jugah kepada pembangunan negara dan Sarawak khususnya.
“Kini, ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara apa yang telah dimulakan oleh Tun Jugah dalam memberi makna kepada sebuah negara yang bebas dan berdaulat.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan Masyarakat Malaysia MADANI yang sentiasa hormat, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban yang diseliputi sifat ihsan,” katanya. – TVS



