BETONG, 4 April: Sebahagian daripada keseluruhan 37 projek transformasi luar bandar (RTP) di kawasan Parlimen Betong berjaya disiapkan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, bagi RTP tahun 2025, sebanyak 23 projek diluluskan menggunakan peruntukan RM2.5 juta merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas, Layar dan Bukit Saban.
“Parlimen Betong saban tahun kita menerima peruntukan bagi pelaksanaan RTP.
“Bagi tahun 2024 sebanyak 37 projek, sebahagian daripadanya sudah siap sementara sebahagian lagi dalam pelaksanaan untuk tahun ini, bagi tahun 2025 pula sebanyak 23 projek yang merangkumi ketiga-tiga kawasan DUN iaitu Saribas, Layar dan Bukit Saban diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong pada Khamis.
Menurutnya, beliau yakin kesemua projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual berdasarkan kepakaran dimiliki dan komitmen tinggi setiap agensi teknikal yang dilantik.
“Adalah amat penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang siap mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan setiap isu dan permasalahan rakyat di kawasan Parlimen Betong dapat ditangani serta diatasi dengan sebaik mungkin,” jelasnya.-TVS.


