BETONG, 3 April : Rakyat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang dan agama di Sarawak perlu terus bersatu serta menghindari isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, ini kerana tindakan sedemikian boleh menggugat perpaduan dan keharmonian antara kaum yang terjalin sejak sekian lama di Sarawak.
Menurutnya, masyarakat majmuk di Sarawak seharusnya sentiasa bersyukur kerana dianugerahkan keadaan tenteram dan aman damai hingga membolehkan setiap perayaan atau majlis diraikan dalam suasana harmoni.
“Kita di Sarawak harus bersyukur kerana sentiasa diberikan keadaan dan suasana aman damai, tenteram serta harmoni hingga membolehkan kita tanpa mengira kaum dan latar belakang meraikan sesuatu perayaan atau majlis di bawah satu bumbung dalam suasana harmoni sehingga kini.
“Maka adalah amat penting untuk kita menghindari segala isu sensitif dan terus memupuk semangat perpaduan yang terjalin sejak sekian lama dalam masyarakat kita di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong anjuran Lembaga Khaiirat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Betong pada Khamis.
Menurutnya, Sarawak bertuah kerana dipimpin oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bijak mentadbir wilayah ini.
“Kita di Sarawak dan Betong sememangnya amat bertuah sejak Kerajaan GPS di bawah kepimpinan Premier Abang Joe,
“Beliau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa prihatin terhadap keperluan kita rakyat Sarawak maka oleh itu kita hendaklah meneruskan dan memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan beliau tanpa berbelah bahagi agar segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar serta berkesan untuk kesejahteraan rakyat kelak,” ujarnya.
Untuk rekod, Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong kali ini merupakan edisi keempat dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong dan Jawatankuasa Ketua-Ketua Kampung Melayu Betong dan Persatuan Penduduk Kampung Melayu Betong (PPKMB) sejak 2022.-TVS


