KABONG, 6 Jun: Sebanyak RM204,000 telah disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir kepada enam masjid dan dua persatuan di kawasan DUN Kabong bagi pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Menurut Chee Kadir, peruntukan tersebut bertujuan membantu jawatankuasa masjid dan persatuan membeli lembu korban untuk program ibadah korban di kawasan masing-masing.
Enam masjid yang menerima sumbangan ialah Masjid Assasul Islam Alit, Masjid Ar Rahim Gerigat, Masjid Ar Rahman Sessang, Masjid Assabirin Kabong, Masjid Lebai Mat dan Masjid Tok Amal. Persatuan Anak Kabong (PAK) dan Persatuan Pesara Kabong (PEKA) turut menerima peruntukan sama.
“Alhamdulillah, pada Hari Raya Korban tahun ini, kita berkesempatan lagi untuk menyumbang peruntukan kepada setiap masjid dan persatuan yang ada di DUN Kabong.
“Terserah kepada mereka untuk menggunakan dana sumbangan tersebut untuk aktiviti bermanfaat,” katanya dalam kenyataan kepada TVS, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kaedah pengurusan korban kali ini sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Tidak seperti tahun sebelum, iaitu kita sendiri yang menguruskan pembelian lembu seterusnya melakukan agihan kepada masjid serta surau di seluruh daerah ini,” jelasnya.
Chee Kadir berkata sumbangan tersebut merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan menjelang Aidiladha di Kabong.
“Ini merupakan salah satu kewajipan saya sebagai ADUN, untuk memberi sumbangan bukan hanya ketika Hari Raya Korban tetapi untuk perayaan lain pun kita ada beri sumbangan,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar sambutan Hari Raya Korban tahun ini disambut dengan meriah oleh seluruh penduduk Muslim di Kabong, terutamanya golongan kurang berkemampuan yang dapat merasai nikmat daging korban hasil sumbangan ini. – TVS


