BUTTERWORTH, 6 Jun: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mereka rakaman video yang kononnya dirinya diculik untuk menipu bekas teman wanitanya minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Zulkifli Azizan, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memperdaya bekas teman wanitanya berusia 21 tahun agar percaya bahawa dirinya dalam keadaan bahaya, sedangkan tertuduh tahu tiada penculikan yang berlaku dan rakaman video kejadian itu adalah satu rekaan semata-mata seperti bersabit satu laporan polis.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 10.30 malam pada 28 Mei lalu di sebuah premis di Jalan Labu Banting, Guar Perahu di Bukit Mertajam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sembilan butir peluru jenis SME 5.56mm blank buatan Malaysia tanpa lesen pada kira-kira pukul 6.20 petang, 2 Jun lalu di sebuah rumah di Bertam Perdana, Kepala Batas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 7 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.
Pada prosiding, Nurameera memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan di samping syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Khaliq Mehtab kemudiannya memohon jaminan rendah dengan alasan bahawa tertuduh bekerja sebagai penghantar kurier dengan pendapatan RM1,300 selain menanggung dua anak berusia dua dan tiga tahun selain ibu yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu, sementara kes akan disebut semula 31 Julai depan.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki yang juga anggota sukarelawan askar wataniah ditahan polis selepas didapati membuat video rekaan bersama seorang rakan kononnya dirinya diculik bagi meraih simpati bekas teman wanita.
Lelaki itu juga dikatakan menyimpan peluru yang dipercayai diambil dari sebuah kem askar wataniah di Butterworth untuk dijadikan koleksi peribadi. – TVS



