SEPANG, 6 Jun: Seramai tujuh petugas media tempatan termasuk wakil dari TV Sarawak (TVS) telah berlepas ke Kemboja hari ini bagi menyertai Program Kembara Qurban Kemboja Bank Rakyat anjuran bersama Surau Al Barakah Bank Rakyat dan Maahad Imam As-Syafie.
Program berbentuk misi kemanusiaan selama empat hari itu akan berlangsung di dua lokasi utama iaitu Kampot dan Phnom Penh dengan matlamat menyantuni masyarakat Islam setempat melalui ibadah korban serta penyampaian bantuan makanan asas.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria, sebanyak 45 ekor lembu akan dikorbankan di dua lokasi terpilih iaitu Masjid Kampung Trà peng Pring dan Maahad Imam As-Syafie, Kampung Keh.
Selain itu, sumbangan beras seberat 10 kilogram setiap kampit akan diagihkan kepada 150 buah keluarga di Kampung Swai Relom.
“Anggaran sekitar 1,000 penduduk akan menerima sumbangan daripada pihak kami yang akan diagihkan di dua kawasan iaitu Kampot dan Phnom Penh.
“Kita sudah buat program ini sejak 2015. Cuma kita berhenti selepas COVID-19 dan sambung semula sekarang. Tahun 2019 adalah tahun terakhir. Program ini bukan sekadar meraikan pendeposit tetapi juga membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) hari ini.
Nor Haimee turut menjelaskan bahawa keseluruhan kos program mencecah lebih RM1.5 juta, hasil kutipan menerusi Akaun Simpanan-i Tabung Qurban.
Akaun tersebut memberi peluang kepada pendeposit untuk menunaikan ibadah korban sama ada di dalam negara atau luar negara seperti Kemboja melalui tabungan/simpanan secara ansuran bulanan.
Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan media dalam program ini membolehkan mereka menyaksikan sendiri realiti kehidupan masyarakat Islam di Kemboja yang amat menghargai sumbangan daging korban.
“Selama ini kita hanya melihat ibadah korban di Malaysia. Di Kemboja, kita dapat menyaksikan sendiri bagaimana masyarakat Islam di sana hidup dalam kesusahan dan benar-benar menghargai setiap sumbangan yang diberikan.
“Jadi, kami berharap agar program seperti ini akan memberi manfaat kepada ummah Islam di Kemboja,” jelasnya lagi.
Program Kembara Kemboja dijangka akan terus menjadi inisiatif tahunan Bank Rakyat dalam memperluaskan usaha kebajikan ke peringkat antarabangsa di samping mengukuhkan hubungan dengan komuniti serantau. – TVS


