KUCHING, 5 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan rasa sebak ketika memberi penghormatan terakhir kepada mendiang James Alexander Ritchie hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, Tun Wan Junaidi berkata, beliau dan mendiang sepatutnya berbicang mengenai penghasilan sebuah naskhah yang diusahakan bersama.
“Pagi ini sepatutnya menjadi detik pertemuan kami untuk membincangkan sebuah naskhah yang sedang diusahakan bersama. Namun, ketentuan Ilahi mendahului segala perancangan manusia.
“Apa yang dijangka sebagai permulaan sebuah karya kini menjadi lembaran penutup sebuah kehidupan,” katanya.
Tun Wan Junaidi menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak khususnya dalam bidang kewartawanan dan pendokumentasian sejarah.
Menzahirkan pemergian seorang sahabat, beliau menggambarkan mendiang sebagai insan yang tekun, berwawasan dan komited dalam merakam kisah penting demi manfaat generasi mendatang.
Ketika memberi penghormatan terkakhir di Dewan Serbaguna Gereja St. Thomas di sini hari ini, Wan Junaidi dilihat tidak mampu menahan sebak.
Wartawan veteran, mendiang James Alexander Ritchie menghembuskan nafas akhir di Hospital Umum Sarawak pada Sabtu di usia 75 tahun dan akan disemadikan di Pusat Peringatan Nirvana Kuching Bau esok.
James Ritchie menabur bakti dalam dunia kewartawanan lebih 50 tahun sejak 1971 ketika berusia 23 tahun.
Kemuncak kerjayanya adalah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 iaitu penghargaan tertinggi dalam dunia kewartawanan negara yang mengiktiraf peranan dan sumbangannya. – TVS



