KOTA KINABALU, 5 Mei: Selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR), mayat seorang lelaki yang dipercayai disambar buaya ketika menjala ikan hanyut di sungai berhampiran Kampung Banting, Sipitang akhirnya ditemui hari ini.
Mangsa, Pungut Madin, 52, ditemui orang awam sekitar jam 12.20 tengah hari di satu anak sungai yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari pos kawalan hadapan, berhampiran Sungai Megalong. Pihak bomba mengesahkan bahawa mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna.
Pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terlebih dahulu menggunakan dron bagi memastikan kawasan penemuan selamat sebelum masuk ke lokasi untuk membuat pengesahan dan mengambil mayat. Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang pada Khamis (1 Mei) sekitar jam 3.30 petang semasa menjala ikan bersama tiga saudaranya. Menurut saksi, Pungut berada di dalam air ketika seekor buaya tiba-tiba menyerangnya dan menariknya ke dasar sungai.
Usaha mencari dilancarkan serta-merta membabitkan pelbagai agensi termasuk JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung. Sepanjang lima hari operasi, pasukan penyelamat menyusuri sungai sejauh lapan kilometer menggunakan bot untuk mengesan mangsa.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang selepas penemuan mayat disahkan.
Kejadian ini sekali lagi membangkitkan kebimbangan mengenai konflik antara manusia dan hidupan liar di kawasan luar bandar Sabah, khususnya di sungai yang sering menjadi lokasi buaya berkeliaran.
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang penemuan reptilia berbahaya kepada pihak berkuasa. -TVS



