SANDAKAN, 5 Mei: Program Arkib@Sekolah adalah langkah strategik mendekatkan generasi muda kepada sejarah dan menyemai semangat kebangsaan sejak dari peringkat sekolah.
Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata program anjuran Arkib Negara Malaysia itu penting dalam membina jati diri nasional dengan menggunakan bahan arkib sebagai alat pendidikan yang kreatif dan interaktif.
“Ini adalah satu usaha kita melalui Arkib Negara Malaysia untuk menyemai kembali sejarah di peringkat sekolah. Memang di sekolah sudah ada subjek sejarah, tetapi program ini memperluaskan lagi usaha kerajaan.
“Yang paling penting bagi kita di Kementerian Perpaduan ialah memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara, dan itu mesti bermula daripada sekolah,” katanya berucap merasmikan program berkenaan di Dewan Jules P. Stephens, Sekolah Menengah St. Mary di sini, hari ini.
Aaron berkata sejarah merupakan medium utama untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.
Menurutnya, dengan memahami sejarah serta menjadikannya sebagai alat pendidikan yang aktif, masyarakat sebenarnya sedang memperkukuh jati diri nasional dan mengukuhkan ikatan perpaduan antara rakyat.
“Program ini juga selaras dengan objektif Kerajaan MADANI untuk membina tapak integrasi yang kukuh dalam masyarakat berbilang latar belakang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa nilai-nilai Malaysia Madani merangkumi disiplin, hormat-menghormati dan penerimaan terhadap kepelbagaian kaum dan agama.
“Malaysia Madani bermakna kita sudah berjaya, sudah berdisiplin, dan kita menghormati pelbagai bangsa dan agama, yang akhirnya menjurus kepada perpaduan,” katanya.
Program Arkib@Sekolah: “Bermulanya Di Sini” merupakan lokasi pertama pelaksanaan bagi tahun ini sebelum diteruskan ke Kedah dan Kelantan pada Julai dan Ogos.
Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata pihaknya menggalakkan sekolah menubuhkan sudut arkib melalui persatuan sejarah sebagai langkah mengumpul bahan-bahan berkaitan sekolah itu sendiri.
“Kalau sekolah tidak mengumpul bahan berkaitan sejarah mereka sendiri, sejarah itu akan hilang. Kita akan membimbing sekolah-sekolah untuk kumpul bahan-bahan yang boleh dijadikan arkib,” katanya.
Aaron berharap agar program seperti ini dapat diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negara dan menjadi wadah berkesan untuk menyemai semangat perpaduan serta melahirkan generasi muda yang celik sejarah dan berjiwa kebangsaan. – TVS


