SUBANG JAYA, 4 April: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta pelajar yang terjejas susulan kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya untuk mendaftar dengan kementerian itu bagi membolehkan bantuan disalurkan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, setakat hari ini, pihaknya telah mengenal pasti sembilan pelajar yang terjejas dan menjangkakan angka itu akan bertambah.
“Saya telah minta supaya mereka (pelajar) yang terlibat itu mendaftar dengan kita (KPT) supaya kita dapat memberikan bantuan. Yayasan Siswa Perdana di bawah KPT telah menyampaikan bantuan, dan kita juga akan menghulurkan bantuan kepada mereka yang baru mendaftar.
“Setakat ini, kita mempunyai sembilan pelajar yang keluarganya terjejas, dan mungkin ada satu atau dua lagi pertambahan selepas mereka pulang melihat kediaman keluarga mereka nanti.
“Walau bagaimanapun, kita bersiap sedia untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan, yang tidak terhad kepada wang sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Zambry berkata, KPT telah memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas untuk tidak perlu hadir mendaftar di kampus masing-masing pada Isnin depan.
Beliau menjelaskan bahawa KPT sudahpun berhubung dengan pihak universiti bagi memberikan ruang dan tempoh waktu kepada pelajar terjejas untuk melakukan pendaftaran.
“KPT turun dengan ‘full force’ dan menyediakan pelbagai khidmat kerana kita mempunyai beberapa kepakaran dalam bidang ini, termasuk dalam perubatan dan kaunseling.
“Ia termasuk bentuk bantuan kemanusiaan yang turut kita berikan menerusi pasukan Siswa MADANI,” katanya.
Pada Rabu, KPT mengambil langkah proaktif membantu mangsa yang terjejas akibat insiden itu dengan menyediakan pakar, klinik bergerak, dan sumbangan RM2,000 kepada mahasiswa yang terlibat.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Anesee Ibrahim, berkata KPT akan memberikan bantuan secara tunai yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun mahasiswa yang terkesan. – TVS

