SIBU, 4 April: Cadangan pembinaan tempat kediaman atau asrama pelajar di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu akan dibentangkan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ia akan dibawa kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk tindakan selanjutnya.
“Saya telah berbincang mengenai perkara ini dengan Abang Johari dan beliau meminta ianya dilaksanakan secepat mungkin.
“Kemudahan ini satu keperluan yang perlu diberi perhatian bagi menjamin keselesaan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Sibu pada Jumaat.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
Menurut Dr Annuar, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) merangkumi elaun RM15,000 setahun yang melibatkan empat universiti milik Sarawak juga turut disentuh dalam pertemuan dengan Abang Johari.
“Kita (Kerajaan Sarawak) akan melihat bagaimana elaun itu dapat digunakan untuk menampung kos sewaan rumah (penginapan) pelajar yang tinggal di luar kampus.
“Pelajar yang tinggal di dalam kampus juga perlu membayar sewa untuk kediaman mereka,” ujarnya,
Tambahnya, elaun RM15,000 setahun itu akan disediakan kepada pelajar yang mendapat peluang melanjutkan pendidikan secara percuma di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak mulai tahun 2026. -TVS



