Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Poster penganjuran Karnival Salui Lukut Kaul Mukah 2025

Karnival ‘Salui Lukut’ meriahkan Kaul Mukah 2025

MUKAH, 4 April: Jika sebelum ini, Salui Lukut hanya dipertandingkan setiap Kaul Mukah tetapi tahun ini ia dilangsungkan secara karnival yang melibatkan Bengkel Pembuatan dan Simulasi Permainan Salui Lukut.

Persatuan Melanau Mukah (PMM) selaku penganjur utama Kaul Mukah 2025 mengambil inisiatif mengadakan Karnival Salui Lukut yang bertujuan memberi peluang kepada masyarakat setempat terutama generasi muda untuk lebih mengenali, memelihara dan melestarikan permainan tradisi masyarakat Melanau ini.

Salui dalam bahasa Melanau Mukah merujuk kepada perahu yang pelbagai jenis seperti Salui Bider, Salui Jong, Salui Bua-gan, Salui Kenyalang, Salui Bahong, Salui Badong, Salui Bakong dan pelbagai jenis.

Lukut pula adalah sejenis daun parasit atau daun menumpang di kebanyakan pokok.

Nama saintifik bagi daun Lukut ialah Aglaomorpha Qercifolia Sin, Drynaria quercifolia iaitu spesies pakis dalam keluarga Polypodiaceae.

Ianya turut dipanggil daun kelapa tupai, sakat laipang dan ubi kayap dan juga pakpak lawin, gurar, koi hin, ashvakatri, kabkab, kabkaban dan uphatkarul dalam bahasa lain.

Untuk Kaul Mukah tahun ini, PMM melantik YUSAPET (Yunit SABERKAS Petanak) dengan kerjasama Pemuda N.57 Tellian N.58 Balingian, P.213 Mukah, PMM dan Armada Generasi Warisan untuk menganjurkan Karnival Salui Lukut.

Menurut Penyelaras Acara Persatuan Melanau Mukah bagi Kaul Mukah 2025, Kaunselor Ardyman Matan, Karnival Salui Lukut adalah untuk mendokumentasikan permainan tradisi ini sebagai rujukan dan panduan bagi masyarakat Melanau mahupun sesiapa sahaja yang ingin mengetahui permainan tradisi ini.

‟Dengan ada penganjuran sebegini, diharap permainan tradisi ini dapat dipelihara dan dilestarikan agar dapat bersaing dengan permainan moden,” katanya.

Karnival Salui Lukut akan dimulakan dengan Bengkel Pembuatan Salui Lukut yang akan diadakan pada 24 April 2025 di Pentas Utama Kaul Mukah yang akan disertai oleh pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam, penggiat dan peminat Salui Lukut yang dijemput.

Pada keesokan harinya iaitu 25 April 2025, Simulasi Permainan Salui Lukut akan diadakan sepanjang hari.

Pengunjung Kaul Mukah digalakkan untuk mencuba sendiri permainan tradisi Melanau ini.

Pertandingan Lumba Salui Lukut akan diadakan pada 26 April 2025 yang akan dirasmikan pelepasannya oleh Presiden Persatuan Melanau Mukah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Yakub Arbi.

Bagi penggiat dan peminat Salui Lukut yang ingin menyertai Pertandingan Lumba Salui Lukut, mereka boleh mendapatkan borang dan syarat-syarat penyertaan melalui, Ned (0134768643) dan Aema (014888501).

Tarikh Tutup penyertaan adalah pada 19 April 2025 jam 10.00 pagi. Taklimat dan cabutan undi akan diadakan pada 24 April 2025 jam 4.00 petang di Khemah Urusetia Pertandingan Lumba Salui Lukut di Pantai Kala Dana, Mukah.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan