ASAJAYA, 2 Feb: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengambil langkah proaktif sejak Oktober lalu untuk memastikan prasarana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di wilayah ini dapat digunakan ketika berlaku bencana banjir.
Pengerusi JPBNS yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyatakan pihaknya telah memaklumkan kepada Pejabat Residen dan Pegawai Daerah untuk memeriksa kemudahan yang terdapat di PPS ini.
“Sebenarnya kita memang awal dari mesyuarat dalam bulan Oktober, kita memberitahu kepada semua Residen dan Pegawai Daerah untuk memeriksa kemudahan-kemudahan di PPS ini. Matlamatnya adalah untuk menentukan tandas dan kemudahan-kemudahan sempurna.
“Memang ada tempat saya lihat semalam di Tatau, kemudahan di sana tidak mencukupi. Pihak Majlis akan membekalkan tandas bergerak. Ada beberapa masalah tapi kebanyakannya diatasi,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini tiada aduan yang dibuat berkenaan dengan masalah kemudahan di PPS, malah masyarakat yang dilanda banjir juga memahami akan masalah yang berlaku menjadikan mereka lebih bertolak ansur.
Douglas juga menerangkan tentang masalah ruang PPS yang tidak mencukupi terutama di Bintulu dengan sebanyak 2,000 mangsa banjir diletakkan di PPS yang hanya memuatkan 1,000 orang sahaja, masalah itu terus ditangani dengan memindahkan sebahagian mangsa ke PPS Paragon.
“Hal ini berlaku disebabkan situasi banjir di Bintulu antara yang teruk pada ketika itu. PPS Serian dan PPS Ranchang dibahagikan kepada beberapa tempat lagi untuk menangani kesesakan bagi mengelakkan masalah kesihatan,” jelasnya. – TVS



