KUCHING, 2 Feb: Seramai 1,440 pelajar daripada keluarga B40 di Kota Belud dan Penampang, Sabah, menerima sumbangan berjumlah RM144,000 daripada Bank Rakyat menerusi Program Jangkauan Komuniti MADANI Bank Rakyat: Kembali Ke Sekolah.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Bank Rakyat turut menyerahkan sebanyak 460 set komputer terpakai kepada 55 buah sekolah di kedua-dua daerah, bertujuan meningkatkan akses pelajar kepada pembelajaran digital.
Majlis penyerahan berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Piasau, Kota Belud dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, Penampang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Menurut Ewon, sumbangan ini melambangkan komitmen Bank Rakyat dalam memperkasakan pendidikan anak-anak luar bandar serta menyokong usaha kerajaan ke arah celik digital.
“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kita sebagai sebuah keluarga MADANI untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menerima pendidikan dan kemudahan terbaik,” katanya.
Beliau turut menghargai usaha Bank Rakyat sebagai rakan strategik dalam menyokong agenda pendidikan negara.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pendidikan adalah kunci masa depan yang lebih cerah dan percaya semua pelajar berhak mendapat peluang sama untuk menimba ilmu.
“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa, selain memberi semangat kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik.
“Selain itu, pemberian set komputer juga membolehkan pelajar mengakses pembelajaran digital dengan lebih baik, membuka peluang kepada mereka untuk meneroka ilmu secara interaktif dan inovatif,” tambahnya.
Inisiatif ini juga seiring dengan matlamat kerajaan dalam memperkasakan pendidikan digital di kawasan luar bandar dan pedalaman, demi memberi manfaat kepada masyarakat. – TVS



