ASAJAYA, 2 Feb: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bersedia menghadapi bencana banjir gelombang kedua di negeri ini.
Pengerusi JPBNS yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya bencana banjir gelombang kedua.
“JPBNS memang siap siaga bila-bila masa. Bukan hanya menduga “king tide” tetapi kami akan bersedia di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kami telah diarahkan untuk bersedia dari November sehingga Mac. Semua agensi mesti sentiasa peka dan bersedia mendepani segala risiko. Maknanya, peralatan, tenaga kerja dan makanan dari kebajikan mesti sudah sedia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan dan memberikan bantuan makanan serta minuman ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sampun Tebun di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. – TVS



