Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fadzillah Basri dan Noriah Tali. Foto TVS

Banjir: Mangsa terputus bekalan makanan, elektrik dan telekomunikasi

BySalasiah Safian

MIRI, 2 Feb: Banjir yang melanda Daerah Subis mengakibatkan penduduk di kawasan kampung berdekatan terputus bekalan makanan, elektrik dan telekomunikasi.

Fadzillah Basri, salah seorang mangsa banjir gagal menahan sebak ketika menceritakan keadaan rumahnya yang dilanda air bah.

Hanya mampu bertahan selama empat hari di dalam rumah, akhirnya Fadzillah serta keluarga meminta belas ihsan jiran dan pihak berkuasa yang lalu di hadapan rumahnya untuk memindahkan mereka.

“Kasihan anak. Memang sedihlah, yang tak dapat dijangka. Ingat keluarga saja dan tawakal saja dan berdoa banyak-banyak supaya air surut tetapi air semakin naik. Di rumah kami ada emak, bapak, suami, saya dan anak. Ingat apa, kira nak bertahan macam tidak lama tapi air makin tinggi, bekalan makanan pun putus, semua kedai, pengangkutan pun tiada, tenggelam.

“Saya minta tolong jiran, minta tolong orang, rangkaian telekomunikasi pun tiada, elektrik juga tiada. Jadi saya pun meminta tolong jiran dan orang yang lalu-lalang,” ceritanya kepada TVS.

Masih dalam keadaan terkejut, katanya, selama 39 tahun usianya ini yang terburuk pernah melanda dirinya dan keluarga.

Ceritanya, pada hari pertama sekitar jam tiga petang banjir masih lagi berada pada paras yang rendah.

“2022 tapi tak sama seperti ini, hanya paras pinggang saya sahaja. Kali ini dalam sejarah, paling tinggi. 39 tahun usia saya, saya tidak menyangka tahun ini rumah saya akan tenggelam oleh banjir,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Noriah Tali seorang lagi mangsa banjir yang juga merupakan pengusaha butik pengantin berkata, hanya televisyen dan ketuhar yang dapat diselamatkan, dua buah kereta, rumah serta kedainya ditenggelami air.

“Tidak dijangka. Ingatkan tidak seburuk ini. Sebab itulah kami hanya mengalihkan kereta di tempat yang tinggi cuma dua buah kereta lagi tidak sempat diselamatkan. Kereta adik saya, motosikal dia juga tenggelam.

“Sekarang ini saya tidak tahu bagaimana keadaan kereta. Ketika saya berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah tinggal bumbung kereta. Susah untuk mendapatkan perkhabaran mengenai banjir di kawasan kami kerana tiada rangkaian telekomunikasi dan tidak dapat menghubungi sesiapa. Harap mendengar berita dari sini (PPS) sahaja,” ujarnya.

Setakat jam 8 pagi, sebanyak 12 PPS mangsa banjir masih aktif di Bahagian Miri dengan PPS SMK Bekenu mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 353 mangsa melibatkan 50 Ketua Isi Rumah.

Manakala untuk PPS mangsa tanah runtuh pula, terdapat dua buah PPS dibuka di bahagian Miri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan