ASAJAYA, 2 Feb: Masalah sistem perparitan yang menyebabkan pengaliran air tidak tersalur ke laut antara punca dikenal pasti mengakibatkan berlaku banjir di beberapa tempat di kawasan Asajaya baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, banjir yang berlaku disebabkan oleh air hujan yang tidak mengalir dengan cepat melalui parit.
“Masalah kita di Asajaya pada masa ini ia lebih kepada air hujan yang tidak dapat keluar dengan cepat, lebih-lebih lagi dałam masa yang sama berlaku “king tide, masa hujan lebat air hujan yang dalam kampung tidak dapat keluar ke laut dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sampun Tebun di sini, hari ini.
Beliau juga menyatakan Asajaya tidak sepatutnya mengalami bencana banjir kerana fenomena ini belum pernah berlaku selama 25 tahun yang lepas.
Seramai 106 keluarga isi rumah dan 286 mangsa banjir telah dipindahkan ke PPS Kampung Sampun Tebun setakat hari ini. – TVS


