PAKAN, 12 Dis : Keahlian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pakan menunjukkan peningkatan ketara dengan penyertaan seramai 6,330 orang ahli dalam tempoh enam tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, jumlah itu meningkat drastik berbanding peringkat awal penubuhannya yang hanya disertai kira-kira 900 orang ahli.
Kejayaan itu katanya, merupakan hasil kerjasama erat dalam kalangan ahli yang tidak mengenal penat lelah menyebarkan falsafah perjuangan PBB kepada penduduk di kawasan Pakan.
“Kita menjangkakan bilangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan sambutan baik rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Bagi saya, perkembangan ini adalah sesuatu yang sihat kerana kekuatan parti mampu menjamin kemakmuran pembanguan yang memberi faedah besar kepada rakyat,” katanya sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Cawangan Parti PBB N.47 Pakan bagi Sesi 2024 -2027 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua ahli supaya terus bersatu dan memperkukuhkan perpaduan bagi memastikan kesinambungan kekuatan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Menurutnya, perpaduan ahli di peringkat akar umbi penting untuk memastikan kestabilan kerajaan dalam menjamin pembangunan berterusan sekali gus mempertahankan kepentingan rakyat.
“Saya amat menghargai titik peluh ketua-ketua ranting yang banyak memainkan peranan dari segi penambahan keahlian.
“Sehubungan itu saya berharap saudara-saudara terus berusaha lagi. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua atas kepercayaan kepada saya menerajui PBB Pakan,” katanya.

