KUCHING, 3 Mac: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang berkualiti untuk kesejahteraan penduduk luar bandar.
Pengarahnya, Ir. Cassidy Morris berkata JKR Sarawak sentiasa bersedia untuk membantu dalam usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan pedalaman, termasuk jalan raya dan jambatan, bagi memastikan keselesaan serta keselamatan penduduk setempat.
“JKR Sarawak akan sentiasa bersiap sedia untuk membantu dalam pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar. Kami amat memahami kepentingan jaringan jalan raya yang baik dalam mempercepatkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
“Oleh itu, kami akan terus berusaha untuk memastikan projek-projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkualiti,” katanya menerusi menerusi kenyataan, hari ini.
Kenyataan ini adalah susulan Program Bersama Komuniti di Rumah Eddy Madang, Ulu Manding, Pakan pada Khamis lepas. Program ini dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom.
Program ini adalah inisiatif daripada penduduk kampung sekitar kawasan Daerah Pakan sempena lawatan kerja Pengarah Kerja Raya ke daerah Pakan dan juga merupakan kesinambungan daripada lawatan tapak ke Projek Jalan Pakan/Ulu Kota, Pakan, Sarikei Division (Fasa 3) serta penggantian tujuh jambatan sementara kepada jambatan konkrit kekal di bawah Fasa 1.
Program ini juga dihadiri ketua-ketua masyarakat, tuai rumah serta penduduk kampung dari kawasan sekitar bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan di daerah ini.
Ia menjadi platform untuk penduduk setempat menyuarakan pandangan serta keperluan mereka berkaitan infrastruktur di kawasan masing-masing.
“Dengan adanya kerjasama erat antara pihak kerajaan dan masyarakat, diharapkan pembangunan luar bandar dapat terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu.


