Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Usaha Kerajaan Sarawak menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 membuahkan hasil apabila ia diluluskan di Dewan Rakyat hari ini. Foto fail Bernama

Dewan Rakyat: RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 diluluskan

ByNur Suhaida Muliyono

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Usaha Kerajaan Sarawak menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 membuahkan hasil apabila ia diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata dengan pindaan itu, penantian selama 20 tahun pekerja di Sarawak untuk mempunyai hak dan perlindungan yang sama seperti pekerja di Semenanjung Malaysia dan Sabah berakhir.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menyempurnakan lebih lapan undang-undang perburuhan besar melibatkan isu-isu seperti gaji pekerja, keselamatan sosial, keselamatan dan kesihatan di tempat pekerjaan, Gerakan Kesatuan Sekerja dan hak serta perlindungan kepada kaum pekerja.

“Sebelum ini, ordinan ini hanya dihadkan kepada pekerja bergaji di bawah RM2,500 dan pekerja di bawah jadual khusus sahaja, bermaksud hak yang diberikan itu tidak merangkumi pekerja yang bergaji RM2,500 ke atas.

“Tetapi selepas pindaan, kini ordinan ini terpakai kepada semua pekerja tanpa mengira hak, gaji dan jenis pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Media Parlimen Malaysia di sini hari ini.

Menurut Steven, perkara lain yang turut dipinda dalam RUU ordinan tersebut adalah bayaran kerja lebih masa, cuti umum dan hari rehat yang dahulunya dihadkan kepada pekerja bergaji di bawah RM2,001 sebulan, namun kini kesemua bayaran ini diperluaskan dan hadnya dinaikkan kepada gaji RM4,000 sebulan.

Selain itu jelas beliau ia turut merangkumi pengurangan waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, kenaikan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari dan pemberian cuti kepada suami ketika isteri bersalin (paternity leave) selama tujuh hari.

“Cuti sakit dan cuti hospitalisasi dahulunya disatukan yang mana 14 hari cuti sakit dan 46 hari cuti hospitalisasi, menjadikan jumlah keseluruhannya 60 hari tetapi sekarang cuti sakit dan hospitalisasi diasingkan dengan masing-masing 14 hari dan 60 hari, menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 74 hari.

“Denda kesalahan melanggar peruntukan ordinan dinaikkan, dahulu tidak melebihi RM10,000, sekarang tidak melebihi RM50,000,” ujarnya lagi.

Steven menambah terdapat penambahan dua hari kelepasan wajib daripada empat hari sahaja sebelum ini iaitu Hari Kebangsaan, Hari Pekerja, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri, Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan Sarawak.

Jelas Steven, pindaan ini merupakan satu penambahbaikan yang amat drastik kepada undang-undang perburuhan di Sarawak dan ia dijangka memanfaatkan 1.46 juta pekerja di wilayah itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan