KUALA LUMPUR, 12 Dis: Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi menubuhkan badan Ombudsman Malaysia akan dirangka dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia bermula pada 2018.
Jelasnya ia susulan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) 2018 secara prinsipnya bersetuju dengan penubuhan badan Ombudsman Malaysia dalam Perkhidmatan Awam menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA) yang sedia ada.
“Seterusnya, Mesyuarat Jawatankuasa Reformasi Institusi Bil. 1/2024 pada April lalu memutuskan supaya sesi libat urus holistik diadakan untuk menentukan cadangan penubuhan mekanisme Ombudsman Malaysia.
“Suhubungan itu Jemaah Menteri telah bersetuju supaya sesi libat urus holistik dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dengan kerjasama BPA dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan selama tiga bulan bagi menentukan mekanisme penubuhan dan pelaksanaan Ombudsman Malaysia,” di Dewan Rakyat hari ini,
Beliau menjawab pertanyaan Teresa Kok Suh Sim (Pakatan Harapan – Seputeh) mengenai status penubuhan Ombudsman Malaysia serta garis masa yang ditetapkan bagi pelaksanaan usaha tersebut.
Tambah Kulasegaran, sesi libat urus holistik itu amat diperlukan bagi meneliti secara terperinci beberapa aspek dasar dan teknikal berhubung penubuhan badan baharu ini.
“ Antaranya analisis kajian fungsi untuk menyiasat aduan, bidang kuasa untuk menangani isu salah tadbir dalam penyampaian perkhidmatan awam, keperluan kewangan dan sumber manusia badan baharu itu.
“Selain itu, sesi libat urus holistik ini akan juga meneliti kebolehlaksanaan cadangan supaya Ombudsman Malaysia memainkan peranan sebagai sebuah agensi berpusat di bawah cadangan pindaan-pindaan kepada Akta Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] yang sedang diusahakan BHEUU JPM ketika ini.
“Kesemua aspek ini perlu diperhalusi dan dibincangkan bersama dengan semua pihak berkepentingan yang terlibat,” ujarnya.
Beberapa sesi bengkel cadangan dasar penubuhan Ombudsman telah diadakan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. -TVS.

