PAKAN, 12 Dis: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dinasihatkan agar sentiasa berpegang teguh terhadap nilai dan asas perjuangan parti.
Peringatan Naib Yang Dipertua Parti PBB Sarawak, Dato Sri Karim Rahman Hamzah itu bertujuan supaya para ahli tidak alpa dengan kedudukan sebaliknya terus fokus kepada matlamat asal parti, iaitu memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak.
“Kita mesti sentiasa berpijak di tanah, jangan sekali–kali kita rasa apabila kita sudah jadi besar, kita lupa dengan daratan, kita lupa dengan kedudukan kita.
“Saya menyatakan begini kerana daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, 47 kerusi adalah dari Parti PBB,” katanya pada mesyuarat agung perwakilan cawangan parti PBB N.47 Pakan bagi sesi 2024 -2027 di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, sebagai parti komponen utama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBB mempunyai peranan besar dalam landskap politik danpembangunan Sarawak.
Malah ujarnya, semua ahli PBB perlu memastikan matlamat utama parti, iaitu memajukan dan membela rakyat, tidak terabai.
Katanya, barisan pimpinan PBB melihat perjuangan dalam konteks yang lebih luas dengan memperkukuhkan hubungan bersama komponen parti lain seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).
“Ini penting demi memastikan kestabilan politik dan keberkesanan pentadbiran sekali gus mewakili kepelbagaian etnik dan kepentingan Sarawak dalam jangka panjang,” tambahnya.
Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Maurice Joannes Giri, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak merangkap Ketua Cawangan N.30 Balai Ringin, Petrus Igat Mathias, Ketua Cawangan PBB N.48 Meluan merangkap Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak, Paulus Dandee Banyang dan Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak, Cr. Kambira Anyan. -TVS



