KUCHING, 11 Nov: Filem tempatan ‘Tegkang’ yang berlatar belakangkan kehidupan masyarakat di Bario, mengisahkan mengenai kehidupan kaum Kelabit di sebuah kampung terpencil bakal ditayangkan pada 28 November ini di seluruh pawagan di Malaysia.
Filem ini akan membawa penonton untuk menyelami kehidupan harian dan keindahan budaya kaum Kelabit di Sarawak.
Menurut Penulis dan Pengarah Filem Tegkang, Josh Nawan, perkataan ‘Tegkang’ diambil daripada bahasa kaum Kelabit yang bermaksud pelangi, menceritakan mengenai kisah persahabatan seorang gadis kampung yang bernama Rinai dan pengunjung luar, Hanafi yang akan membongkar sebuah rahsia di perkampungan tersebut.
“Kehidupan Rinai semua sudah dibentuk, dirancang dan disediakan. Jadi, setiap apa yang dilakukan Rinai, orang kampung tahu.
“Benda ni jadi kucar- kacir dengan adanya orang luar datang ke Bario, yang akan dimainkan oleh Syafie Naswip sebagai Hanafi.
“Penonton akan tahu apa sebenarnya, mengapa dunia Rinai begitu dan rahsia yang tersimpan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Lawatan Media bagi mempromosikan Filem Tegkang di TVS di sini, hari ini.
Mengambil inspirasi daripada kehidupan peribadinya, Josh menyelitkan pengalaman kehidupannya di kampung iaitu Baram bagi menghidupkan jalan cerita filem Tegkang.
“Ia mengenai kisah kekeluargaan, cinta tapi bukan semestinya antara dua orang tetapi mengenai bagaimana keluarga menyayangi keluarga yang lain, bagaimana masyarakat menyayangi masyarakat,” ujarnya lagi.
Bagi salah seorang peneraju utama Filem Tegkang, Michelle Lungan yang membawa watak Rinai, dia berasa bangga diberi peluang berlakon di filem tersebut bersama pelakon hebat, Syafie Naswip.
Jelasnya, filem tersebut sangat bermakna pada dirinya kerana dia sendiri merupakan kaum Kelabit.
“Sudah tentu saya berbesar hati sebab bukan selalu ada peluang untuk berlakon dalam filem di Bario, ini adalah untuk komuniti kaum Kelabit, di mana secara peribadi peluang ini satu dalam sejuta orang cakap.
“Saya sangat bertuah sebab dapat digandingkan dengan Syafie Naswip sebab dia adalah seorang pelakon yang bukan sahaja berkaliber, tetapi juga peramah, mesra, baik hati dan tidak lokek ilmu. Dia banyak membantu saya,” katanya lagi.
Untuk rekod, Tegkang telah meraih pengiktirafan antarabangsa, termasuk Anugerah Juri di Festival Lift-Off di Pinewood Studios, UK, serta dipilih sebagai Filem Penutup Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2024.
Selain daripada itu, filem ini juga berjaya merangkul empat anugerah dalam acara Borneo Arts And Creative Awards (BACA) 2024, iaitu Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, dan Filem Cereka Terbaik. -TVS



