KEPALA BATAS, 10 Okt: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan Sekolah Menengah Ching Ling (Persendirian) di George Town di sini menerima lawatan tentera laut China pada Sabtu lepas.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kunjungan membabitkan 165 pelajar dan pensyarah dari Naval University of China itu sebaliknya adalah bagi program pertukaran kebudayaan dan sukan sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
Katanya, program itu juga telah mendapat kebenaran daripada semua pihak autoriti yang berkaitan untuk dilaksanakan.
“Saya ingin betulkan, ia bukan kehadiran tentera tetapi kehadiran pelajar universiti dan telah pun barangkali memberikan salah faham yang banyak dalam masyarakat.
“Ia adalah program sempena hubungan diplomatik Malaysia-China 50 tahun bersama program pertukaran kebudayaan dan sukan yang melibatkan pelajar universiti itu dan sekolah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali ke-62 di sini.
Persidangan bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ itu di dihadiri oleh 674 pengetua dari seluruh negara.
Sementara itu, Fadhlina berkata, pihak sekolah berkenaan juga telah membuat laporan polis bagi mengelakkan salah faham berhubung isu itu yang tular di media sosial.
Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Sabtu lalu mengumumkan kedatangan kira-kira 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Mutiara dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.
Bagaimanapun, lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di media sosial. – TVS



