PUTRAJAYA,10 Okt: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membantu pihak berkuasa dan kementerian berkaitan berhubung kes kemalangan yang mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun semalam.
Menterinya, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kepakaran KKM terutamanya aspek teknikal dan perubatan akan disalurkan susulan kes kemalangan itu melibatkan seorang pemandu wanita yang dipercayai kurang siuman yang telah merempuh empat pelajar.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan siasatan dilakukan oleh polis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika disoal pemberita berhubung sama ada pemandu yang mengalami masalah mental layak memandu, Dr. Dzulkefly meminta perkara itu dirujuk kepada agensi berkaitan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa pihaknya.
“Bagi pihak saya (KKM) adalah lebih selesa untuk MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menjawab berhubung isu ini,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 7.35 malam, tiga pelajar UiTM Dungun maut dengan seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Susulan daripada itu, pemandu wanita berusia 49 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – TVS

