KUCHING, 10 Okt : Sebanyak 72 projek telah diluluskan Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) setakat September lalu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BDDA, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, kesemua projek tersebut membabitkan peruntukan bernilai RM1,428,700 antara lain meliputi projek pertanian dan pembesaran jalan ladang.
“Terdapat sebanyak 72 projek telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak menerusi BDDA setakat September tahun ini.
“Daripada jumlah itu, segelintir daripadanya yang telah siap seperti projek pertanian jalan ladang atau kebun yang memberi manfaat kepada para petani kita di Bahagian Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa pemandu BDDA di Wisma Bapa Malaysia disini pada Khamis.
Mesyuarat tersebut antara lain bagi membincangkan seterusnya mendapatkan laporan daripada semua agensi pelaksana berkaitan kesemua projek yang dilaksanakan di bahagian berkenaan.
Gerald yang juga ADUN Layar berkata, BDDA kini juga sedang memperhalusi tatacara pelaksanaan projek membabitkan input pertanian di Bahagian Betong.
Ia bagi memastikan perlaksanaan kesemua projek berkaitan input pertanian itu dilaksana mengikut spefikasi dan jadual yang ditetapkan oleh BDDA.
Hadir sama, Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu dan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai.-TVS.


