BETONG, 9 Sept: Pemandu dan jururawat cedera parah selepas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melanggar belakang treler yang berhenti di bahu jalan di Jalan Memaloi di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi, PBK I KUP Abang Muhammad Fhazil Abang Abdul Manaf berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.24 pagi dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
“Terdapat dua orang mangsa cedera parah iaitu staf KKM, seorang lelaki dewasa (pemandu) dan seorang perempuan dewasa (jururawat).
“Kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum tibanya pihak bomba di lokasi kejadian.,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa jururawat dibawa oleh pihak ambulans KKM ke Hospital Betong manakala mangsa pemandu ambulans dibawa oleh pihak ambulans KKM Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak bomba membuat pembersihan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada kemerbahayaan kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.-TVS



