KOTA BHARU, 9 Sept: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menahan tiga lelaki termasuk dua warga Thailand kerana memiliki 60,000 pil yaba dan dua kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di dua rumah dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kesemua yang berusia 31 hingga 36 tahun itu ditahan pada 6 petang.
“Hasil saringan air kencing mendapati mereka positif terhadap dadah jenis Methamphetamine.
“Kesemua lelaki itu dan dadah dirampas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -TVS



