KUCHING, 9 Sept: Kerajaan Sarawak kini sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif serta pendekatan bagi memperkasakan pendidikan anak-anak negeri ini melalui kolaborasi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) bersama rakan strategik pintar seperti Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia).
Ketua Inovasi Bakat dan Strategi Huawei Malaysia, Carolyn Wai Kar Yin berkata, ia bukan hanya menyediakan ruang serta peluang pendidikan, malah memastikan pembangunan program digital negeri tercapai seiring dengan aspirasi Sarawak menjadi negeri digital menjelang 2030.
Menurutnya, kolaborasi strategik konglomerat telekomunikasi itu bersama Kerajaan Sarawak direalisasikan apabila kedua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menubuhkan Akademi Digital di CENTEXS.
“Inisiatif ini amat penting kerana ia didukung oleh kerajaan negeri sejak dari mula lagi dan usaha ini dapat berkembang dengan pantas dengan adanya sokongan tersebut. Jadi, ini membolehkan kita bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan negeri serta negara.
“Kita mempunyai potensi yang luas, namun perkara utama yang perlu kita perkukuhkan adalah jaringan dan di CENTEXS ini, kita mulakan dengan latihan agihan dan pemahaman 5G dan kita bertuah kerana mempunyai tenaga pengajar Huawei yang diiktiraf dan berkelayakan dalam segmen ini. Pensijilan 5G Huawei ini diiktiraf oleh pemain industri, malah dikenali di serata dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di CENTEXS pada Isnin.
Jelas Carolyn, pihaknya memfokuskan kepada beberapa bidang digital spesifik yang diyakini akan dapat melengkapkan anak-anak Sarawak bukan sahaja dengan pengetahuan teori dalam ruang kelas, malah beliau yakin usahasama itu berupaya membina bakat digital yang tangkas dan kompeten seterusnya mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.
“CENTEXS merupakan peneraju utama dalam melahirkan tenaga kerja profesional dan kita akan memperkenalkan lagi pelbagai program yang akan melonjakkan CENTEXS di mata dunia di mana langkah ini seiring dengan visi transformisi digital negara.
“CENTEXS mempunyai sukatan pelajaran yang sistematik dan kita dapat membentuk pelajar yang cemerlang serta holistik dari segi perkembangan dan transformasi digital. Kita mempunyai latihan jaringan 5G, protokol internet (IP), penghantaran data serta teknologi digital hijau,” katanya
Carolyn berkata, Huawei Malaysia turut mempunyai visi serta hala tujunya sendiri dalam mendukung serta merealisasikan inovasi serta transformasi digital negara.
Malah, ia giat berkolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan dan organisasi lain dalam pelbagai inisiatif berasaskan teknologi serta ekonomi digital antaranya pembangunan bandar pintar, hubungan pintar luar bandar, kampus pintar, pertanian pintar, pendidikan pintar dan bangunan pintar.
“Huawei menyediakan program latihan jurulatih (TTT), di mana kami memberi latihan untuk memangkin kemahiran tenaga pengajar di CENTEXS ini, supaya mereka dapat menyampaikan sukatan pelajaran secara lebih efektif kepada para pelajar.
“Tenaga pengajar Huawei mempunyai kelayakan yang diiktiraf. Selain itu, kita turut menyediakan makmal 5G serta ruang lapangan kajian serta ladang solar sebagai pemudahcara segmen pendidikan ini,” katanya.
Carolyn turut menyuarakan rasa keterujaannya ketika melihat semangat juang anak-anak Sarawak yang gigih menimba ilmu serta kemahiran untuk masa depan diri yang lebih cemerlang, malah bangga kerana Huawei Malaysia menjadi sebahagian daripada denyut nadi yang menyumbang kepada perkembangan, pemerkasaan serta kejayaan segmen pendidikan serta transformasi digital Sarawak menjelang 2030. -TVS

