KUCHING, 8 Ogos: Elakkan sensitiviti perkauman dan keagamaan dalam memaparkan berita-berita tentang Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata berkata temasya ini adalah platform untuk menyatupadukan semua pihak.
“Tunjukkan keharmonian yang jitu menerusi laporan-laporan berita yang positif.
“Bukan sahaja semangat kesukanan yang tinggi tetapi perlu ditunjukkan semangat perpaduan dalam sukan.
“Selain laporan tentang pelbagai acara sukan, tonjolkan berita tentang sentimen semangat kesukanan yang terpuji, nilai kemanusian, perpaduan dan persahabatan ketika temasya sukma diadakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Randau SUKMA 2024 di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Simon Samuel.
Mengenai pusat media SUKMA, Abdullah berkata, ia akan dilancarkan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Sabtu ini.
Terdapat sembilan pusat media akan dibuka di semua bahagian yang dijadikan venue acara SUKMA yang bermula 17 Ogos ini.
“Kebajikan petugas media diberi keutamaan oleh sekretariat SUKMA kerana laporan-laporan media amat penting dalam menjayakan temasya sukan ini,” katanya. -TVS



