KAPIT, 8 Ogos: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memerlukan seramai 414 orang tenaga kerja teknikal baharu bagi melancarkan pelaksanaan projek dan meningkatkan mutu perkhidmatan di wilayah ini khususnya di Kapit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata terdapat keperluan mendesak untuk mengisi kekosongan tersebut dengan kadar segera.
“Kapit merupakan satu kawasan yang luas dan salah satu isu utama yang dihadapi agensi pelaksana seperti JKR di sini adalah isu kekurangan staf.
“Justeru, kami akan meningkatkan jumlah tenaga kerja JKR Kapit dan akan menghantar kakitangan baharu menjelang akhir tahun ini agar mereka dapat melaksanakan projek mulai tahun hadapan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemantauan Projek Jaringan Luar Bandar Bersama JKR Bahagian dan wakil rakyat tempatan di Pejabat Residen Kapit, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak menambah proses pengambilan pekerja kini sedang berlangsung.
Dalam pada itu, beliau juga diberitahu mengenai isu Elaun Bertugas di Kawasan Pedalaman (EBKP) yang ditarik balik.
“Difahamkan sebelum ini, terdapat elaun yang disediakan tetapi ia telah ditarik balik.
“Jadi, ada permintaan bagi keputusan ini untuk dipertimbangkan semula,” ujar beliau.
Uggah menjelaskan perkara yang dibangkitkan pada mesyuarat itu akan disampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Mesyuarat berkenaan merupakan sebahagian daripada program turun padang MIPD ke seluruh Sarawak yang memasuki hari keempat di sini. -TVS



