MIRI, 5 Mei: Program pameran dan pertunjukan kereta awam dilihat dapat melahirkan kreativiti anak Sarawak yang apabila dipupuk berupaya diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa.
Kaunselor Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lisa Yu berkata, menerusi program tersebut, peserta juga dapat mempelajari kaedah pemanduan dan ciri-ciri keselamatan kenderaan di jalan raya secara berhemah.
“Dengan program ini juga dapat melahirkan anak Sarawak dengan kreativiti di dalam pertunjukan kereta dan boleh mewakili Sarawak di dalam pertunjukan kereta dan permotoran di peringkat antarbangsa seperti di Kuala Lumpur, Indonesia, Thailand, Singapura dan Jepun yang turut diadakan sebagai acara tahunan dan dihadiri oleh peserta antarabangsa.
“Peserta dan orang awam juga dapat berkongsi pemanduan dan ciri-ciri keselamatan kenderaan di jalan raya serta di Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan dari Kuching Sarawak sehingga ke Sabah.
“Sebaiknya ia merupakan tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh semua pihak termasuklah masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Datuk Sebastian Ting Chiew semasa Majlis Penyampaian Hadiah 10th Miri Borneo Street Autofest pada Ahad.
Melalui sokongan geran dari MTCP memudahkan penganjuran acara sebegini menarik pengunjung masuk ke Sarawak dan menjana kitaran ekonomi masyarakat tempatan selain mewujudkan tumpuan kepada media antarabangsa
Program anjuran Persatuan Usahawan Anak Sarawak Bahagian Miri kali yang ke-10 telah diadakan selama dua hari bermula 4 hingga 5 Mei menghimpunkan ahli kelab kereta seluruh Borneo.
Seramai 340 peserta yang telah menyertai program ini dengan 150 daripadanya datang dari negara Brunei Darussalam manakala selebihnya dari Sabah dan Sarawak. -TVS



