KUCHING, 5 Mei: Pemerkasaan golongan wanita dan kesaksamaan gender terus menjadi antara keutamaan kerajaan dalam mewujudkan keseimbangan peluang dalam komuniti.
Pengerusi Negeri Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Aishah Edris berkata, wanita memainkan peranan penting dalam mencorakkan hala tuju sosial dan ekonomi, memperkasa kesejahteraan serta kemakmuran negara.
“Peranan wanita pada hari ini adalah sama pentingnya dengan kaum lelaki.Wanita dilihat hebat dan cekal dan memiliki banyak potensi.
“Bagi terus mencapai kesaksamaan gender dan seterusnya memaksimumkan potensi dan peranan wanita, PPWS akan melaksanakan pelbagai inisiatif meliputi aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan latihan, keselamatan dan kesejahteraan wanita serta pimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Jamuan Teh bersempena Hari Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak ( PPWS ) Tahun 2024 di Dewan Sri Mahligai, Kuching pada Ahad.
Tambah Aishah, wanita harus bijak berdikari dan mengurangkan kadar kebergantungan kepada satu-satu pihak atau individu dalam meneruskan kelangsungan hidup.
“Tahun ini bertemakan “Wanita Dijulang Negara Gemilang” yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah pimpinan Datuk Seri Nancy Shukri tema ini dipilih untuk menunjukkan kepentingan mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan gender pada semua peringkat, sebagai usaha memartabatkan wanita di negara ini,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Penaung PPWS, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi. -TVS


