MIRI, 6 Jun: Sebanyak 17 aduan diterima Majlis Bandaraya Miri (MBM) sempena sesi Hari Bersama Pelanggan yang melibatkan pelbagai isu perbandaran yang memerlukan tindakan segera.
Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad berkata, sebanyak tujuh aduan melibatkan Jabatan Kejuruteraan, termasuk dua isu saliran pecah dan parit runtuh, dua isu jalan rosak yang memerlukan penurapan semula, satu aduan pemotongan rumput di lebuh raya utama, serta dua aduan berkaitan lampu jalan tidak berfungsi dan kawasan kurang pencahayaan.
“Lampu jalan yang tidak menyala dan kawasan gelap pada waktu malam boleh menjejaskan keselamatan. Kita akan ajukan isu ini kepada jabatan berkaitan untuk tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Bersama Pelanggan Majilis Bandaraya Miri (MBM) di Pasar Besar Lorong 10 Krokop, Miri, hari ini.
Tiga aduan pula diterima oleh Bahagian Kesihatan Awam melibatkan kerosakan siling, tandas awam tidak dibersihkan, sistem pam rosak dan sebuah rumah terbiar yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk serta semak samun.
“Walaupun rumah itu ada pemilik, tiada penyelenggaraan dilakukan. Kita akan keluarkan notis jika perlu,” katanya lagi.
Empat lagi aduan diterima Bahagian Pembersihan dan Penyelenggaraan Awam, antaranya isu anjing liar di kawasan kediaman, pembuangan sisa binaan haram, serta aduan mengenai pemotongan sampah dan kebersihan tandas awam.
“Kita gesa pemilik anjing lebih bertanggungjawab. Jika dibiarkan lepas, tindakan akan diambil mengikut peraturan,” ujarnya.
Bahagian Penguatkuasaan pula menerima satu aduan berkenaan penjaja tanpa lesen di kawasan parkir awam, manakala dua aduan di bawah Bahagian Landskap berkaitan pokok dan semak tinggi di kawasan kediaman dan perindustrian.
Ariffin turut menegaskan bahawa MBM akan menyalurkan aduan di luar bidang kuasa mereka kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut.
“Kita tidak akan biarkan aduan tergantung. Jika bukan di bawah MBM, kita akan bantu maklumkan kepada agensi terlibat,” ujarnya lagi. – TVS



