KOTA SAMARAHAN, 4 April: Dalam usaha membantu dan menyantuni asnaf, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak menganjurkan Program Jalinan Kasih Asnaf di Kampung Plaie di sini, hari ini.
UiTM Sarawak memaklumkan program itu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Komuniti Universiti bertujuan meringankan beban golongan asnaf yang memerlukan di Kampung Plaie, Kota Samarahan.
“Pada program ini, seramai 22 orang penerima sumbangan telah menerima bantuan bagi mengurangkan beban kewangan mereka sepanjang bulan yang mulia ini.
“Melalui inisiatif seperti Jalinan Kasih, kami berhasrat untuk mengeratkan lagi perpaduan dan kepedulian dalam kalangan komuniti,” kata UiTM menerusi kenyataan.
Kenyataan itu menjelaskan, penganjuran program itu melibatkan pelbagai aktiviti seperti pengagihan barangan asas dan sumbangan bantuan kewangan.
“Ini jelas menunjukkan bahawa UiTM Sarawak komited untuk terus terlibat dalam inisiatif komuniti yang memberi impak dan menghayati nilai-nilai kasih sayang, empati, dan perpaduan,” katanya. – TVS



