KUALA LUMPUR, 4 April:Pelajar yang tidak mempunyai dokumentasi lengkap tidak boleh memohon melanjutkan pelajaran ke universiti sebagai warganegara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohamad Yusof Apdal berkata, permohonan mereka akan dianggap sebagai permohonan pelajar antarabangsa.
Ujar beliau berdasarkan Pekeliling Kemasukan ke Program Pengajian Asasi, Diploma dan Program Ijazah di Universiti Awam dan Universiti Swasta, syarat am kemasukan adalah warganegara Malaysia yang mempunyai kad pengenalan.
“Pada masa kini, kemasukan ke universiti terhad kepada pelajar yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sahaja sama ada kad pengenalan bagi warganegara Malaysia dan pasport bagi bukan warganegara Malaysia.
“Semua permohonan untuk mendapatkan akses pendidikan tinggi daripada pelarian dan anak-anak pelarian perlu diproses berdasarkan undang-undang yang berkaitan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan adakah terdapat sebarang perancangan untuk membenarkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mempunyai dokumentasi maklumat lengkap menuntut pengajian di peringkat universiti termasuk golongan yang tiada kewarganegaraan serta anak terbiar yang dijaga oleh keluarga angkat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu Mohamad Yusof mencadangkan supaya guru-guru kaunseling melakukan pendaftaran pelajar kategori tersebut lebih awal bagi memudahkan urusan permohonan.
Pada masa sama jelas beliau, golongan itu boleh mendapatkan akses kepada kemudahan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang berdaftar dengan kerajaan.
“Isu dan dasar ini merentas pelbagai kementerian untuk menyelesaikannya” tambahnya. -TVS.


