KUALA LUMPUR, 4 April: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang untuk mewujudkan semula kuota pengetua untuk memilih kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh (SPB) yang dimansuhkan pada 2021.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata kaedah pemilihan murid ke SBP sedia ada setakat ini memadai untuk menentukan calon yang layak.
Jelas beliau, KPM melaksanakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang merupakan ujian kelayakan secara berpusat bagi kemasukan murid ke sekolah khusus termasuk ke SBP sejak tiga tahun lepas.
“Selain murid mencapai aras toleransi PKSK yang ditetapkan, terdapat komponen lain yang digunakan dalam penentuan merit pemilihan kemasukan ke SBP iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan status sosioekonomi (SES),” katanya pada Sesi Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu faktor pemansuhan kuota pengetua dalam menetapkan pengambilan pelajar serta adakah kerajaan berhasrat mengembalikan semula kuota tersebut.
Sementara itu Kah Woh menjelaskan pemilihan murid ke SBP bersifat holistik dalam menentukan potensi murid berbanding pemilihan melalui autonomi pengetua yang memberi fokus kepada kebitaraan sekolah. -TVS


