KUCHING, 3 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi malam tadi menghadiri majlis makan malam untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Sri Aman, di sini.
Majlis didahului dengan bacaan doa dan seterusnya dengan ucapan menjunjung kasih oleh ketua rombongan pemimpin masyarakat Sri Aman Muhammad Hamzah Uthman sebelum makan malam bermula.
Dalam ucapannya, Hamzah berkata peranan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam pembangunan negeri amat penting.
“Saya mohon agar pembangunan warisan bangsa dan budaya yang luhur juga diberi perhatian untuk memastikan negeri Sarawak sentiasa beridentiti yang tidak berpaksikan pada satu kaum sahaja,” katanya.
Sebagai anak jati Sri Aman, beliau bangga kerana warga Sarawak, khasnya di Sri Aman mengecapi serta menikmati pembangunan bersama secara menyeluruh tanpa berlakunya sebarang keciciran.



