KUCHING, 1 Jan: Cadangan mengenai urusan kajian persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak akan dikemukakan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata partinya mempunyai jawatankuasa khusus yang bertanggungjawab untuk melihat soal persempadanan semula.
“Buat masa ini perkara itu (persempadanan semula) masih lagi dalam kajian. Kita akan buat cadangan sahaja kerana keputusan muktamad adalah pada SPR,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.
Diminta mengulas lanjut, Premier Sarawak itu berkata kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah mengikut sistem Westminster yang tidak membahagi kawasan mengikut jumlah populasi penduduk secara mutlak.
“Kalau tidak, kawasan luar bandar (yang kurang penduduk) tidak mendapat perwakilan.
“Terdapat dua cara, dan kita merujuk kepada sistem Westminster serta semua negara dalam Commonwealth yang mengikut demokrasi ala Westminster,” katanya.
Terdahulu, SPR memaklumkan pihaknya sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata kali terakhir urusan kajian semula persempadanan di Sarawak dilaksanakan pada 2015.



