KUCHING, 1 Jan: Sarawak melakarkan namanya dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) melalui tiang bendera Ibu Pertiwi iaitu rekod tertinggi di Asia Tenggara dan Malaysia dengan ketinggian 99.4 meter.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek ikonik yang dibiayai tiga syarikat minyak dan gas menjadi nilai tambah kepada tarikan pelancong di kawasan Kubu Margherita.
“Dalam peralihan ekonomi, kami ingin mempamerkan sejarah pembangunan ekonomi Sarawak. Oleh itu, projek ini dibiayai oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), dan Shell.
“Kami akan menyertakan sejarah tiga syarikat ini yang kami letakkan di kawasan Dataran Pertiwi,” katanya pada sidang media selepas lawatan walkabout ke Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.
Pada lawatan itu, Abang Johari menyaksikan penyampaian sijil pengiktirafan daripada pegawai MBOR Edwin Yeoh kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS, PETROS dan Shell yang telah menyumbang kepada pembangunan pelancongan di negeri ini.
Tambahnya lagi, selain menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negeri, tiang bendera ikonik itu juga menjadi simbol falsafah dan menyuntik sifat tanggungjawab kepada rakyat Bumi Kenyalang untuk mempertahankan tanah air dan beriltizam memajukannya.
“Warna merah melambangkan kehebatan, warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak dan warna kuning menggambarkan perpaduan kita.
“Apabila kita melihat bendera ini, saya berharap agar rakyat Sarawak akan memikul tanggungjawab untuk memelihara warisan ini, sehingga rakyat dapat berkembang sejajar dengan ketinggian tiang (bendera) tersebut,” tegasnya lagi. – TVS



