KUCHING, 1 Jan: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berminat dengan mana-mana usaha hendak menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk Langkah Dubai yang timbul baru-baru ini.
Menegaskan demikian, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata GPS mahu fokus dengan usaha membangunkan dan memakmurkan ekonomi Sarawak.
“Yang penting bagi kita ialah kestabilan kerajaan Malaysia. Kita bersaing dengan rakan-rakan jiran kita dan jika Malaysia dalam keadaan huru-hara (politik), siapa yang mahu melabur dan membawa wang ke Malaysia?
“Peluang pekerjaan akan berkurangan jika pelaburan tidak masuk dan yang menjadi mangsa ialah rakyat,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan berlakunya Langkah Dubai bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang didakwa digerakkan oleh segelintir pimpinan pembangkang.
Abang Johari berkata lagi, segala usaha hendak menumbangkan kerajaan sekarang adalah perbuatan yang membuang masa dan tidak menyumbang terhadap kesejahteraan rakyat.
Fokus ketika ini juga perlu diberikan dalam aspek mengeratkan kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan untuk meningkatkan pendapatan menerusi transformasi ekonomi baharu.
“Kita di Sarawak, kita tumpukan perhatian kepada merancakkan ekonomi kita. Apabila ekonomi kita meningkat, maka pendapatan kita juga akan meningkat.
“Saya memberi bayangan bahawa 2024 juga merupakan tahun yang baik untuk Sarawak. Insya-Allah, pada Januari atau Februari ini nanti, saya akan dedahkan perkara itu,” ujarnya.



