KUALA LUMPUR, 12 Dis: Tekanan terhadap pengurusan kewangan antara faktor yang mempengaruhi segelintir pasangan suami isteri mengecilkan keluarga mereka, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata kesedaran tersebut memberi kesan yang negatif kepada kadar kesuburan negara.
Menurutnya, kerajaan telah memperkenal beberapa inisiatif bagi membantu pasangan yang ingin berkahwin menimang cahaya mata.
“Antaranya pengecualian cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 untuk yuran penjagaan dan tadika sehingga penilaian tahun 2024, selain pengecualian cukai bagi wanita yang kembali bekerja sehingga 31 disember 2027.
“Selain itu, pindaan akta dan dasar juga telah ditambah baik agar lebih mesra kepada ibu bapa mendapat anak seperti kemudahan cuti tanpa gaji untuk menjaga anak (cuti sehingga 5 tahun untuk penjawat awam),” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Dato Dr Mohd Hatta Md Ramli tentang usaha kementerian dalam memastikan kadar kesuburan negara dipertingkat.
Tambah Nancy, faktor-faktor lain yang mempengaruhi keputusan pasangan dalam menentukan bilangan ahli keluarga ialah pilihan gaya hidup, masalah kesuburan dan lewat berkahwin.
Sementara itu, kementeriannya turut menyediakan perkhidmatan kesuburan kepada pasangan yang mempunyai kesulitan mendapatkan zuriat di tiga klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengikut zon.
Antaranya, Klinik Subfertility Pulau Pinang bagi Zon Utara, Klinik Subfertility bagi Zon Tengah dan Klinik Subfertility Johor Bahru di Zon Selatan.
“Di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan telah meluluskan pembangunan Pusat Subfertility Negara di Shah Alam, Selangor bernilai RM171 juta dijadualkan siap 2029.
“Pusat ini bakal menyediakan segala rawatan kesuburan di bawah satu bumbung dengan menawarkan perkhidmatan kesuburan serba moden dengan caj berpatutan,” katanya. – TVS



