KUCHING, 12 Dis: Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM2.3 juta bagi tahun ini telah disalurkan kepada penerima di Asajaya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seramai 160 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), taska, masjid, gereja dan tokong telah menerima manfaat inisiatif berkenaan.
Projek pembangunan di Asajaya lonjak potensi ekonomi penduduk – Abdul Karim
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, beliau menerima dua peruntukan geran MRP dan satu lagi telah diagihkan kepada persatuan, jabatan dan kelab rekreasi di seluruh Sarawak.
“Bagi geran MRP untuk Asajaya, jumlah yang disalurkan ialah RM2. 394 juta manakala satu lagi geran melibatkan agihan sebanyak RM3.62 juta,” katanya kepada TVS hari ini.
Berhubung penyaluran geran di Asajaya, Abdul Karim berkata, daerah itu bukan lagi tergolong sebagai kawasan luar bandar dan oleh itu pembangunan infrastrukturnya perlu dipertingkatkan.
Jelas beliau, penerima juga boleh menggunakan bantuan yang diberikan itu untuk menganjurkan program, mesyuarat, menjalankan program amal dan sebagainya.
“(Sebenarnya) ini kali pertama peruntukan kepada JKKK ditambah kepada RM20,000.
“Di Tambirat contohnya, terdapat lima JKKK, jadi jumlah yang disalurkan mencecah RM100,000. Terpulang bagimana mereka hendak mengurus, mengatur pentadbiran dan aktiviti di kampung,” ujarnya. -TVS



